Dikemaskini pada 14/07/2026 oleh admin
Menjadi budak kolej sememangnya sibuk.
Masa kita banyak habis dekat dewan kuliah. Selepas itu tergesa-gesa pula untuk pergi ke perpustakaan.
Hujung-hujung, melepak dekat kafe kampus juga.
Dengan jadual yang padat, rutin harian kita pun jadi makin ‘huru-hara’.
Pagi-pagi dah layan kopi pekat sebab nak stay awake. Tidur malam pula selalu tak menentu sebab layan assignment.
Makan? Memang apa saja yang sempat depan mata. Janji kenyang dan jimat poket.
Tapi, ada satu benda yang ramai antara kita selalu terlepas pandang.
Pernah tak perasan ada perubahan pelik pada badan?
Contohnya, tetiba je kaki rasa sembab atau bengkak.
Ataupun masa anda pergi ke tandas, nampak air kencing berbuih semacam. Macam buih sabun yang tak nak hilang.
Kalau ada tanda macam ni, tolong jangan buat tak tahu.
Itu bukan sekadar penat biasa sebab anda terlebih berjalan atau penat bersukan.
Silap-silap, mungkin buah pinggang anda sedang memberi isyarat amaran.
Badan anda mungkin sedang hadapi apa yang dipanggil sebagai Sindrom Nefrotik.
Dalam artikel ni, saya akan kongsikan dengan anda lebih lanjut tentang Nefrotik Sindrom, khususnya kepada anda yang masih bergelar pelajar.
Kalau korang takde banyak masa, boleh klik pada tajuk-tajuk yang korang rasa nak baca dulu.
Isi Kandungan
Apa Sebenarnya Nefrotik Sindrom?
Sebenarnya, apa benda Nefrotik Sindrom ini?
Untuk memudahkan anda faham, nefrotik sindrom ini bukanlah dikategorikan sebagai satu penyakit.
Seperti kencing manis atau darah tinggi.
Tapi, nefrotik sindrom ni adalah satu kumpulan simptom yang nak bagitahu buah pinggang anda sedang menghadapi masalah.
Nak bagi mudah faham, cuba bayangkan buah pinggang anda macam penapis kopi.
Sepatutnya, penapis ni bertugas untuk tapis segala sisa buangan, tapi pada masa yang sama dia akan pegang zat yang penting.
Contoh zat penting tu adalah protein (atau nama sainsnya, albumin) untuk kekal dalam darah kita.
Tapi bila seseorang itu menghidap nefrotik sindrom, penapis kopi tadi menjadi bocor secara tiba-tiba.
Akibatnya, kandungan protein yang sepatutnya diperlukan oleh tubuh badan anda, juga akhirnya keluar sekali dengan air kencing.
Bila berlakunya keadaan begini, darah anda akan mengalami kekurangan protin.
Dan ketika inilah masalah akan bermula.
Tanda-Tanda Yang Perlu Diperhatikan
Sebagai orang muda yang aktif, kita selalu fikir badan kita ‘kebal’. Kalau penat sikit, kita anggap cuma kurang tidur sebab stay up study atau main game.
Tapi untuk Sindrom Nefrotik, ada beberapa tanda amaran awal yang badan hantar, tetapi kita selalu terlepas pandang sebab nampak macam remeh:
1) Bengkak Air (Edema)
Ini tanda yang paling mudah nak perasan tapi paling kerap dari kita yang abaikan.
Termasuklah diri saya dulu.
Biasanya, bila bangun pagi, anda akan perasan bahagian bawah mata nampak sembap sangat macam orang tak cukup tidur atau lepas menangis semalaman.
Tapi bila dah tengah hari membawa ke petang, bengkak di mata itu mula hilang dan berpindah pula ke bahagian bawah badan.
Kaki dan buku lali anda akan mula nampak kembang.
Cara paling mudah nak tahu:
Cuba pakai stokin yang fit sedikit semasa ke kelas.
Bila buka stokin pada waktu petang nanti, tengok sama ada getah stokin itu meninggalkan bekas lekuk yang dalam pada kulit kaki dan lambat sangat nak hilang.
Jika ya, itu tandanya cecair dah mula bertakung penuh di dalam tisu badan anda.
2) Air Kencing Berbuih Pekat
Semua orang kencing ada buih sedikit, terutamanya kalau kita buang air dengan laju.
Tetapi buih yang muncul akibat nefrotik sindrom ini sangat berbeza dan tak ramai yang akan perasan melainkan jika diperhatikan secara teliti.
Buihnya jenis sangat pekat, tebal, dan bertingkat-tingkat macam buih sabun atau buih teh tarik yang baru lepas dibancuh.
Paling ketara, buih tebal ini langsung takkan hilang walaupun anda sudah pam (flush) tandas berkali-kali.
Dalam dunia perubatan, buih tebal ini adalah tanda protein penting (dipanggil albumin) sedang bocor keluar secara besar-besaran dari badan anda.
3. Letih Macam Tak Cukup Sifat
Sebagai pelajar, rasa letih itu biasa.
Tapi letih yang disebabkan oleh masalah nefrotik sindrom ini sangat berbeza dan tidak normal.
Anda rasa macam bateri badan kosong terus, walaupun anda sudah tidur cukup 8 jam semalam.
Rasa malas dan penatnya sampai nak angkat kaki pergi ke dewan kuliah pun rasa seperti sedang mengheret batu yang sangat berat.
Mengapa keadaan ini berlaku?
Ini berlaku kerana badan anda kehilangan terlalu banyak protein yang sepatutnya digunakan untuk membina tenaga harian anda.
4. Berat Badan Naik Mendadak (Bukan Sebab Gemuk)
Pernah tak anda rasa hairan, makan biasa sahaja tetapi bila timbang berat badan, tiba-tiba berat naik sampai 3 hingga 5 kilogram dalam masa beberapa hari sahaja?
Jangan salah faham, ini bukan lemak atau otot.
Ini adalah berat air (water weight) yang terperangkap di dalam tisu badan disebabkan buah pinggang gagal membuang lebihan cecair dengan betul.
Badan anda akan mula rasa ‘berat’ dan tidak selesa untuk melangkah.
💡 Pro Tip:
Jangan tunggu sampai bengkak makin teruk baru nak kalut. Cara terbaik untuk tahu buah pinggang korang okay atau tak adalah dengan track tanda-tanda ni setiap hari.
Saya dah siapkan Log Harian Sindrom Nefrotik untuk bantu korang pantau berat badan, urin, dan simptom dengan mudah guna phone je. Muat turun di sini.
Dilema Paling Besar: Kafe Kolej!
Bab ni memang selalu sangat jadi batu penghalang untuk budak-budak asrama.
Bila dah duduk kolej, bajet kita pun terhad.
Nak tak nak, memang kena bergantung dekat makanan kafe atau kedai mamak.
Masalahnya, korang tahu tak?
Kebanyakan lauk-pauk dekat kedai luar ni tinggi sangat dengan sodium (garam) dan ajinomoto (perasa).
Bagi orang yang ada Sindrom Nefrotik, sodium ni adalah musuh nombor satu!
Sodium ni sifat dia macam magnet.
Dia akan tarik air dalam badan kita.
Sebab tu lah kalau korang tersalah makan lauk yang masin, esoknya kaki jadi bengkak lagi besar.
Tapi nak buat macam mana kan?
Dah la tak boleh masak dekat bilik, nak beli makanan sihat hari-hari poket pula boleh rabak.
Memang rasa macam hilang kuasa nak pilih apa yang masuk dalam perut sendiri.
Strategi ‘Survival’ di Kampus
Tapi korang jangan risau, ada masalah mesti ada jalan keluar.
Korang tak payah sampai nak mogok lapar atau terus berhenti makan dekat kafe.
Kita cuma kena tukar strategi dan jadi lebih bijak masa order makanan.
Untuk mudahkan hidup korang, saya dah buat satu panduan ringkas sistem “Lampu Isyarat”.
Lepas ni, masa korang beratur dekat kafe, ingat je panduan ni:
🟢 Lampu Hijau (Lauk Yang Selamat Untuk Korang)
Lauk dalam kategori ni adalah jenis yang kurang diproses dan dimasak secara ringkas.
Paling penting, kandungan garam dia minima:
- Nasi putih: Yang ni memang safe zone, ambil macam biasa.
- Ayam bakar atau ayam stim: Lauk jenis ni selalunya tak guna garam banyak sangat masa masak.
- Sup ayam (tapi ada syarat): Korang boleh makan isi ayam dia, tapi kuah sup tu jangan korang hirup sampai habis. Kat dalam kuah tu lah garam berkumpul.
- Telur rebus: Pilihan protein yang paling bersih, murah, dan selamat.
- Sayur celur atau ulam: Ambil sayur yang jenis rebus atau celur kosong tanpa siram kuah berlebihan.
🔴 Lampu Merah (Lauk Yang Kena Elak / ‘Ban’ Terus)
Lauk dalam kategori ni memang tinggi sangat dengan garam tersembunyi. Kalau korang kerap makan, kaki confirm cepat bengkak:
- Makanan diproses: Tolong elakkan lauk macam nugget, sosej, fries, atau burger daging. Benda-benda ni kandungan sodium dia sangat tinggi.
- Kuah yang ‘banjir’: Saya tahu, makan nasi kalau tak ada kuah memang rasa kering. Tapi kuah kari, kuah lemak bersantan, atau kuah sambal yang pekat tu lah musuh utama buah pinggang korang.
- Kicap dan sos tambahan: Jangan gatal tangan pergi tambah kicap botol, sos cili, atau sos tiram dekat atas nasi. Itu semua bom sodium!
💡 Pro Tip:
Jangan segan atau malu dengan mak cik kantin atau abang kedai makan.
Masa order, korang guna je skrip mudah ni: “Mak cik, saya nak nasi dengan ayam stim, tapi kuah saya tak nak siram atas nasi ya. Biar kering je, terima kasih.”
Percayalah, ayat simple macam ni pun dah boleh potong pengambilan garam harian korang secara drastik!
Kenapa Korang Kena Bertindak Sekarang?
Nefrotik Sindrom ni kalau korang biarkan tanpa penjagaan yang betul, dia memang boleh kacau hidup korang sebagai pelajar.
Yelah, bayangkan tengah ada exam atau tengah sibuk nak kejar kelas, tetiba badan rasa tak selesa dan bengkak-bengkak.
Nak berjalan pun rasa berat.
Bukan itu saja, kalau tak dijaga dari sekarang, dia boleh bawa kepada komplikasi yang lebih serius.
Tapi berita baiknya, sindrom ni sebenarnya boleh diuruskan dengan baik.
Kuncinya ada dekat tangan korang sendiri: jaga makan dan disiplin.
FAQ: Soalan Lazim Tentang Sindrom Nefrotik
Q1: Sindrom Nefrotik ni penyakit keturunan ke? Berjangkit tak?
A: Eh, tak berjangkit langsung! Korang jangan risau, kalau duduk sebilik dekat asrama atau kongsi cawan pun, member korang takkan berjangkit. Pasal keturunan pula, kebanyakannya bukan sebab genetik, tapi lebih kepada masalah sistem imun badan sendiri yang tetiba ‘terlebih rajin’ sampai pi serang penapis buah pinggang tu.
Q2: Kalau saya aktif bersukan/main bola, boleh ke kena sindrom ni sebab penat sangat?
A: Tak ada kaitan langsung. Bersukan tak menyebabkan buah pinggang korang bocor. Tapi, kalau korang memang dah ada Sindrom Nefrotik ni, aktiviti lasak yang keterlaluan mungkin boleh buatkan badan korang lagi cepat letih melampau. Jadi, kena pandai imbang riadah dengan rehat, dan paling penting tengok Symptom Tracker korang hari tu.
Q3: Betul ke kalau kena sindrom ni, muka boleh jadi bulat sebab makan ubat?
A: Ha, ni soalan paling ramai orang muda takut. Jawapannya, ya, ubat utama untuk sindrom ni selalunya adalah ubat jenis steroid (macam Prednisolone). Salah satu kesan sampingan ubat ni ialah dia buat badan simpan air dan naikkan selera makan, sebab tu muka boleh nampak bulat (moon face). Tapi jangan memandai-mandai berhenti ubat tau! Bila dos ubat makin dikurangkan oleh doktor nanti, muka korang akan surut balik jadi normal. Sambil tu, korang boleh track mood steroid korang guna Log Harian yang saya bagi tadi.
Q4: Penyakit ni boleh sembuh total tak? Sampai bila kena jaga makan masin?
A: Sindrom ni jenis yang boleh ‘pasang surut’ (ada fasa dia aktif, ada fasa dia bertenang/remisi). Ramai je yang boleh hidup normal macam biasa. Tapi kuncinya, korang kena teruskan disiplin jaga makan. Walaupun doktor cakap buah pinggang korang tengah fasa ‘rehat’, tabiat elakkan makanan tinggi garam tu kalau boleh jadikan terus sebagai gaya hidup. Sayang buah pinggang kita, nak guna lama.